Ahad, Mei 28, 2006

Siapa kata Wings berkubur?

Siapa kata Wings berkubur?:
Kumpulan Wings telah berpecah? Tidak benar sama sekali. Mereka masih wujud walaupun penyanyinya pernah bertukar ganti. Selepas Awie keluar daripada kumpulan itu beberapa tahun lalu, dia digantikan dengan Mel dan kemudian Awie menyertai kumpulan itu kembali.

Walaupun Awie pernah menghasilkan album solo namun ia sekadar percubaan penyanyi itu untuk memeriahkan industri muzik.

“Apa yang saya buat itu seperti juga penyanyi barat Phil Collins, Mike Rutherford dan Mick Jagger yang mempunyai kumpulan masing-masing tetapi menghasilkan album solo,” kata Awie.

Menyingkap sejarah pembinaan album mereka, menurut Awie, sejak bernaung di bawah syarikat rakaman BMG keseluruhan album mereka telah terjual melebihi 1.1 juta unit tetapi malangnya tiada satu pun album ‘live’ pernah dihasilkan.

Sehubungan itu adalah menjadi hasrat mereka untuk melaksanakan impian tersebut dengan mengadakan konsert Wings Alive 06 selain menghiburkan para peminat rock yang sudah tentunya tertunggu-tunggu persembahan kumpulan itu.

“Kami akan mengadakan konsert berkenaan pada 4 Jun akan datang di Orange Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam.

“Ini kerana sejak sekian lama Wings tidak beraksi untuk menghiburkan peminat rock yang tentunya masih mengingati lagu-lagu kami seperti Sejati, Intanku Kesepian, Diambang Wati, Misteri Mimpi Syakila dan Potret Monalisa,” katanya.

Untuk konsert pada malam itu, Wings akan mengadakan persembahan selama dua jam tanpa henti menghimpunkan lagu-lagu hits dari permulaan kerjaya mereka sebagai artis rakaman sehingga album Naga Keramat yang dihasilkan pada tahun 2002.

Bagi mereka yang selama ini ternanti-nanti kemunculan kumpulan rock terkenal tanah air itu, bolehlah mendapatkan tiket masuk berharga RM25 yang akan dijual di pintu masuk kelab berkenaan pada hari persembahan.
Related post: , , , ,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan