Isnin, April 22, 2024

Happy Earth Day 2024

Assalamualaikum semua. Petang ni nak buat catatan sedikit berkenaan program sambutan Earth Day peringkat tempat kerja. Untuk makluman 22 April setiap tahun telah ditetapkan sebagai hari bumi atau Earth Day di seluruh dunia. Di antara tujuannya ialah sebagai awareness kepada semua orang agar menjaga bumi dengan lebih baik. 

Salah satu inisiatif yang dijalankan di peringkat tempat kerja pada pagi tadi ialah aktiviti menanam pokok di sekitar tempat kerja. Semua HOD telah dikerahkan untuk terlibat dalam aktiviti penanaman pokok ni. Kesian juga kerana ketika penanaman ini matahari agak panas juga. 

Satu lagi dalam merekodkan aktiviti ini drone telah digunakan untuk buat rakan live ke facebook. Problemnya susah betul nak koordinasi masa dengan tempat2 lain. Kemudian dengan masalah lagnya yang tak dapat nak dikawal dah. Sudahnya jadi tak menarik lagi untuk ditonton kerana banyak masalahnya. Apapun pada pagi ini sahaja 1 juta pokok telah ditanam di seluruh Pulau Pinang. Jika tak silap ia akan masuk dalam Malaysian Book Of Record. 

Ahad, April 21, 2024

Projek Mengganti Enjin Jam Dinding Seiko

Assalamualaikum semua, selamat berhujung minggu. Minggu ini agak sunyi sedikit dengan aktiviti kerana puan isteri tak balik hujung minggu ni sebab ada kerja pada hari Sabtu, kalau nak balik pun sehari sahaja jadi aku bagitau tak perlu baliklah.

Disebabkan itu jugalah aku merajinkan diri untuk membaiki jam dinding Seiko ni. Sayang jam ni sebab beli masa awal2 pindah rumah sendiri dulu. Asalnya digantung di ruang tamu, bila dah ganti yang di ruang tamu yang lama di gangtung dalam bilik tidur utama. Mulanya ingatkan bateri habis tapi rupanya enjin dia dah rosak. Kalau korang ada jam dinding yang rosak tapi sayang nak buang sebab mungkin ada nostalgia, kenangan atau ada harga sikit masa beli tu maka boleh sahaja ganti enjin dia. Enjin dia ada dijual dan kebanyakkannya sama sahaja enjin2nya.

Bila aku bawa turun jam dinding ni dan cuci2 dahulu mulalah si kucing yang diberi nama Gumiko menyibuk2kan diri. Dia pantang ada benda2 pelik sikit mulalah dia sibuk nak teroka. Mungkin dari inilah sampai ada biladan inggeris berbunyi curiosity kill the cat. Rasanya part paling susah pun untuk tukar enjin jam ni ialah part nak keluarkan jarum dengan cermat dan tak bengkok. Jarum jam ni biasanya di buat dari aluminium nipis dan kalau tak kena gayanya akan bengkok atau patah terus. 

Aku ni dulu peminat Seiko, ada beberapa jam tangan jenama Seiko dan jam dinding pun aku akan cari brand Seiko. Bila kita suka sesuatu itu kita akan jaga lebih sikit. Terisilah waktu untuk pagi hari Ahad ni. Lepas Zohor nanti ada jemputan kenduri. Perut pun dan rasa lapar ni. 

Khamis, April 18, 2024

Raya Di Temerloh

Assalamualaikum dan selamat pagi. Mungkin ramai yang dah mula puasa 6 tapi aku baru sahaja nak mula puasa 6 hari ini. Pada yang tak biasa puasa 6 tu mungkin boleh mula buat kali ni. Catatan kali ini ialah berkaitan raya. Seperti yang aku maklumkan pada catatan sebelum ini aku akan bahagikan catatan berkenaan raya kepada 2 bahagian. Yang ini adalah catatan yang kedua. Boleh check catatan sebelum ini untuk catatan pertama bertajuk Raya Di Gombak. 

Kami bertolak ke Temerloh pada hari raya kedua. Dalam perjalanan tu sempat singgah beraya di dua rumah iaitu rumah kawan wife di Batang Kali dan rumah sepupu wife di Mentakab. Ruginya jalan ke Genting Highland dari Ulu Yam masih ditutup kerana kejadian tanah runtuh, kalau tidak tidak perlu ikut jalan ke Gombak semula. Satu benda yang kita agak kecewa tentang jalan raya di Malaysia ni ialah nampak seperti sambil lewa sangat pihak2 tertentu dalam nak upgrade jalan2 utama dan jalan2 alternatif. Macam2 cerita kita dengar tentang kesesakan trafik sewaktu cuti raya baru2 ni. 

Petang raya kedua tu kami pun sampai ke Hotel Seri Malaysia di Temerloh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini keluarga adik beradik belah isteri akan berkumpul di hotel ni. Pada malamnya ada sesi makan2 di hotel. Menunya ikan patin masak tempoyak. Ini menu yang mesti kena cuba bila di Temerloh yang cukup sinonim dengan gelaran bandar ikan patin selain gelaran titik tengah semenanjung Malaysia. Selepas itu ada sesi bersalaman antara keluarga dan yang paling seronok mestilah anak2 yang akan dapat duit raya. 

Keesokan harinya kami berkonvoi raya ke beberapa rumah, sebelum itu kami ziarah kubur ibu dan ayah dahulu di Bukit Keledang. Kami beraya di sekitar Mengkarak dan Guai kemudian ke Felda Mayam. Di Felda Mayam kami sempat solat Jumaat di sana. Isu utama di kawasan2 Felda sekarang ini ialah masalah air. Kesian betul sampai ada yang mula menggunakan perigi semula sebagai sumber air. 

Keesokan harinya sebelum balik ke KL aku sempat beraya ke rumah sahabat baik dari zaman sekolah menengah di Kerayong. Dia sekarang ni dah jadi wakil rakyat bagi kawasan Kemayan. Sebelum balik sempat kami makan nasi dahulu di rumah adik kepada isteri yang tidak jauh dari situ. Nasib baik kami makan dahulu tengah hari tu sebab perjalanan balik yang sepatutnya hanya 3 jam akhirnya jadi 8 jam kerana kesesakan teruk di lebuhraya. Di harap kerajaan dapatlah besarkan lagi jalan2 alternatif supaya kesesakan dapat dikurangkan.

Selasa, April 16, 2024

Raya Di Gombak

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Di kesempatan ini aku nak mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin kepada semua yang rajin membaca catatan di blog ini. Secara spesifiknya permohonan maaf dalam blog ini adalah berkisar tentang catatan2 yang mungkin menyinggung perasaan mana2 orang. Juga nak mohon maaf sekiranya ada komen2 yang tidak berbalas. Kalau boleh memang nak membalas kesemua komen2 anda tapi apakan daya kadang terlepas pandang juga. 

Sebenarnya pagi ni baru masuk kerja setelah cuti seminggu dan extra 1 hari lagi semalam untuk berehat dan mengemas apa2 yang patut di rumah. Satu minggu punya trip tahu2 sahajalah, banyak yang perlu diselesaikan. Untuk catatan berkenaan raya aku nak pecahkan kepada dua, nanti akan pos pula di bawah satu lagi pos bertajuk Raya Di Temerloh, Pahang kerana memang ada dua fasa biasanya raya cara kami ni. Kami balik ke rumah emak di Gombak pada hari Isnin jadi sempatlah dua hari lagi puasa dan berbuka di Gombak. Berbuka yang akhir tu dah rasa feel raya sebab dah mula ada lemang dan rendang. Malam itu juga ada dua orang kawan datang berkunjung. Kedua2nya adalah kenalan semasa belajar di Universiti Malaya dahulu. Seorang tu pegawai polis dan seorang lagi guru. Lama juga tak jumpa diorang ni jadi lamalah berboraknya sampai macam tak nak balik.

Keesokan harinya kami solat hari raya idul fitri di Madrasah Al-Hilaliah. Bagus sekali khutbah raya kali ini, antara yang masih segar dalam ingatan ialah petanda kita mendapat pahala Ramadan ialah semua amalan yang kita lakukan pada Ramadan kita sambung pada bulan2 seterusnya. 

  1. Jika kita boleh puasa di bulan Ramadan maka kita sambung puasa2 sunat di bulan lain.
  2. Jika kita boleh bangun sahur pada Ramadan, kita sambung bangun awal untuk solat malam 8 rakaat dan 3 witir. Juga lazimi solat subuh berjemaah di masjid.
  3. Jika kita boleh taja berbuka di masjid maka kita taja juga makan2 untuk orang miskin, pelajar atau kawan2 pejabat di bulan lain.
  4. Jika kita boleh berlama2 'iktikaf di masjid, lakukan juga di bulan lain.
  5. Jika kita boleh baca Al-Quran sehari satu juzuk, maka lakukan juga pada bulan lain supaya kita dapat khatam sekali sebulan mengikut kiraan bulan hijriah.
  6. Jika kita dapat mengawal percakapan kita di bulan Ramadan maka kita jaga juga percakapan kita di bulan seterusnya.
  7. Jika kita banyak berdoa meminta keampunan di bulan Ramadan maka kita banyakkan juga doa pada bulan2 seterusnya.

Itulah antara peringatan yang dapat aku fikirkan dari khutbah yang disampaikan. Selesai solat hari raya kami bersalaman di antara satu sama lain selain memberi duit raya kepada anak2 buah. Pada hari raya pertama itu kami juga berkunjung ke rumah saudara mara di Wangsa Maju, Batang Kali, dan Semugkis. Sampai2 rumah dah malam dan kepenatan. Setakat ini dahulu, ikuti sambungan catatan raya nanti.

Isnin, April 01, 2024

Balik Ke Gombak

Assalamualaikum semua. Sedar tak sedar kita sudah memasuki fasa akhir Ramadan. Hari ini juga kita telah memasuki bulan April 2024. Laju sungguh masa berjalan. Bulan Mac mencatatkan catatan paling sedikit untuk blog ini iaitu hanya 3 catatan. Sedih betul sebab kalau boleh nak maintainlah sekurang2nya 2 catatan dalam seminggu. Apa pun tiada paksaan dalam blog ini. Kita cuba berkongsi mengikut rentak masing2. 

Dari Mu’awiyah bin Haidah Al Qusyairi radhiallahu’ahu, beliau bertanya kepada Nabi:
يا رسولَ اللهِ ! مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ : قال : أُمَّكَ ، قُلْتُ : مَنْ أَبَرُّ ؟ قال : أباك ، ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ
“Wahai Rasulullah, siapa yang paling berhak aku perlakukan dengan baik? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: Ibumu. Lalu siapa lagi? Nabi menjawab: ayahmu, lalu yang lebih dekat setelahnya dan setelahnya” (HR. Al Bukhari dalam Adabul Mufrad, sanadnya hasan).

Cuti Nuzul Al-Quran pada hari Khamis lepas aku dan keluarga pulang ke kampung di Gombak. Kampungnya tidaklah kampung sangat kerana letaknya di Kuala Lumpur. Kebiasaannya apabila tiba bukan Ramadan aku akan usaha untuk dapat balik kampung untuk berbuka bersama emak (ibu). Kali ini peluang itu agak lewat kerana sudah melewati separuh dari Ramadan. Di antara sebabnya aku memilih minggu ini ialah ia lebih panjang dan anak yang bersekolah tidak perlu ponteng. Kebetulan sekolahnya mengambil cuti peristiwa pada hari Jumaat. Dapatlah berlama2 sedikit bersama emak. 

Pada hari Khamis itu kami bertolak dengan menaiki kereta seawal jam 7.30 pagi. Aku memang dah pesan supaya siap awal supaya perjalanan awal pagi mengurangkan mengantuk sewaktu memandu. Sebelum pukul 11.00 tengah hari kami dah pun sampai ke Gombak. Puan isteri bergerak dari Cyberjaya dan kami bertemu di rumah emak. Dalam menunggu2 tu ramai pula saudara mara yang datang, dapatlah beramah mesra sejurus tiba. 

Bila balik dalam bulan Ramadan, semestinya waktu berbuka ialah saat yang ditunggu2. Setiap petang kami ke bazar Ramadan mencari juadah tambahan kepada apa yang emak masak. Dia mesti nak masak juga apa2 walaupun dah pesan supaya tak perlu masak apa2. Hari Sabtu pula kami berbuka nasi arab yang dibeli di Sultan Kebab. Sedap nasinya sampaikan ada yang bertambah sampai tiga kali.  

Di antara perkara lain yang aku suka bila balik kampung ialah berulang ke surau berdekatan rumah iaitu Madrasah Al-Hilaliah. Ia mengimbau kenangan dari waktu2 kecil di mana di situlah aku mula belajar mengaji dengan ustaz yang garang sekali. Pernah sekali ada seorang murid yang dimarahinya sampai patah cermin matanya. Begitulah cara guru dulu2 mengajar. Di surau ini jugalah abah (rahimahullah) berulang2 sepanjang hayatnya. Banyak juga kenalan2 di surau ini.

Selain itu dapat juga masing2 membeli kasut raya. Disebabkan malas nak ke bandar KL, kami bershopping di Wangsa Maju sahaja. Memang untung shopping di KL ni berbanding di Penang. Susah nak jumpa tawaran yang berbaloi. Aku sendiri dapatlah sepasang Dr Cardin slip on moccasin shoes. Ntah macam mana boleh teringin pula nak pakai kasut yang kadang orang panggil sampan. Mula kenal kenal kasut macam ni masa zaman sekolah dulu. Masa tu kalau pakai kasut ni kira hebat dan up to datelah dari segi nak bergaya tu.

Setakat ini dahulu catatan kali ini. Harap lepas raya nanti dapatlah memperbanyakkan catatan2 di blog ini. Semoga kita terus mempertingkatkan ibadah di akhir2 Ramadan ini. Enjoy gambar2 di bawah.